Tuesday, December 28, 2010

Mesej yang mendukacitakan

Saya menerima SMS dari Fadhilah siang tadi yang membuatkan saya merasa sungguh sedih dan terkedu:

"Zainum Ali sudah meninggal dunia pada jam 2.00 petang tadi, sama-sama kita doakan semoga rohnya dicucuri rahmat Allah dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah."

Zainum Ali berasal dari Kampung Simpul, Machang, Kelantan. Saya berasal dari Kampung Paloh Rawa, namun sebelum memasuki sekolah rendah, arwah datuk saya berpindah ke Kampung Pangkal Petai, sebuah kampung berhampiran dengan kampung Zainum. Kakak Zainum yang bernama Salmah tinggal di Kampung Pangkal Petai, selang sebuah rumah dengan rumah saya. Kak Salmah jiran saya di Kampung Pangkal Petai. Kak Salmah dan keluarga adalah jiran yang prihatin dan tidak lokek menghulurkan bantuan kepada jiran tetangga termasuk saya sekeluarga.

Zainum belajar di Sekolah Kebangsaan Jambu Lawar, Batu 30, Machang Kelantan. Saya pun belajar di sekolah yang sama. Kalau tidak silap ingatan saya, saya dan Zainum adalah rakan sedarjah sejak dari darjah satu (1965) hingga darjah enam (1970).

Beliau antara yang dipilih untuk memasuki kelas peralihan (remove class) di Sekolah Menengah Kamil. Saya juga terpilih untuk ke kelas peralihan tersebut. Semasa di Sekolah Menengah Kamil kami tidak pernah berada di kelas yang sama.

Kemudian saya berpindah ke Sekolah Menengah Sains, Pengkalan Chepa dan kemudian ke Maktab Tentera Di Raja, Sungai Besi, Kuala Lumpur. Kalau tidak salah ingatan saya, Zainum terus belajar di Sekolah Menengah Kamil.

Semasa saya telah beberapa tahun bertugas di MISC, saya pernah berbual melalui telefon beberapa kali dan pernah juga mengutus e-emel bertanya khabar dan beliau menceritakan perkara yang berlaku di kampung. Pada masa itu beliau bertugas di Pusat Latihan Petronas di Batu Rakit, Trengganu.

Pada 5 Disember yang lalu saya menerima berita dari Fadhilah bahawa Zainum mengidap kanser dan sedang menjalani rawatan kemoterapi.

Hari ini saya menerima SMS yang mendukacitakan itu...

Semoga Allah mencucuri rahmatNya untuk Zainum dan menerima amalan dan menempatkan beliau di kalangan hambanya yang soleh.

[Pada 12 Disember rakan kita, Cikgu Fauziah Abdullah telah mendahului Zainum meninggalkan kita]

Kita juga akan menyusul Zainum dan Cikgu Fauziah. Yakinlah.

Setiap hari berlalu, umur kita yang masih berbaki akan menjadi semakin berkurangan.