Wednesday, January 28, 2009

Pertemuan 27 Januari 2009

Tanggal 27 Januari 2009 (Tahun Baru Cina hari kedua) satu detik yang memahat memori persekolahan kami di awal 70an kembali menerangi kenangan indah bersama yang semakin kabur. Jam 10 pagi tiba-tiba Jali muncul di kedai kopi berhampiran rumahku, setelah menghampiri beliau yang agak terkejut, lantas sapaan selamba kulontarkan, “Li! Assalamualaikum. Apa khabar?”

“Baik, demo ko?” sambut Zali selamba. Sambil mengambil tempat duduk sementara Razali Hamzah (gelaran jali Kim Tuck) mengambil sarapannya ku perhatikan seraut wajah yang sudah lebih 30 tahun ku kenali, terasa betapa singkatnya waktu yang diberikan Allah untuk kita belajar, berkawan, berbakti, dan berjuang di mayapada ini.

Di antara perbualan yang berlaku di pagi itu termasuklah mengenang kembali kisah bersama rakan-rakan seperjuangan yang masih diingati seperti Nordin Yahya (gelaran Sidik), spontan aku teringat nombor telefon yang telah diberikan oleh Rashid Keebo beberapa bulan yang lepas, selepas nombor didail Nordin terus menjawab dan perbualan berlaku melalui telefonku.

Satu janji termeterai untuk bertemu di kepala gertak Pasir Mas Salor jam 1.00 tengah hari di kedai makan di situ. Jali agak keberatan untuk bersamaku ke Pasir Mas dengan memberikan alasan bahawa kehidupan orang di kampung nampaknya lebih “hectic” berbanding orang yang hidup di bandar, i.e. sibuklah tu.... Seketika itu isteriku tiba dan aku terpaksa meninggalkan Jali dan kami sekeluarga bergegas ke Pasir Mas.

i kepala gertak Pasir Mas Salor kelihatan kereta bersusun-susun disebelah kanan jalan, agak rimas juga untuk menyeberangi ke kanan jalan dengan deretan kereta yang rapat-rapat itu, ku gagahi menyusuri dengan keretaku menentang arus trafik yang tiada henti hingga kehujung jalan hanya beberapa meter dari gertak untuk parkir keretaku.

Usia dan waktu memang memberi kesan yang signifikan, walaupun seolah-olah terasa baru beberapa hari sahaja kita bersama di asrama tetapi aku sudah tidak dapat mengenali nordin yang sedang menunggu di situ. Mata melingas mencari tetapi, “Mana dia?”

Selepas mendail nombor beliau baru disedari orang yang berada di meja yang telah aku lewati menjawab panggilanku, “hei din” kami bersalaman. Sekali lagi masa pertemuan terasa amat singkat, perbualan berkisar pada kisah di asrama dan perjuangan selepas belajar.

“Aku terpaksa menoreh selepas habis tingkatan 5, belajar semula di IKM sambil menumpang di rumah Fauzi Mahmud (Aye Tua), masa dia orang nak kutip yuran pandai-pandailah aku mengelak” cerita Nordin. Nordin yang sama melidi macam aku dulu kini nampak agak berisi dengan kumis yang sudah mula berubah warna tetapi dirias rapi.

Nostalgia Nordin juga ada berkaitan dengan bagaimana dia telah diusik oleh sekumpulan budak Kamil asrama perempuan di stesyen bas. Ketua Balai Bomba Pasir Mas ini memang agak rapat dengan aku dulu, justeru perbualan sambil makan tengah hari di kedai itu amat singkat. Kami terpaksa berpisah dengan kata janji akan bertemu lagi, insyaAllah. Walau apa pun nasi di kedai tu sedap dan murah.

Pada waktu malam hari itu nampaknya masih panjang lagi apabila selepas Maghrib, Mat Mamud (Mat Dagu) telefon, “Dah keluar ke?”, “Dak lagi” aku jawab, “Kita jumpa kat Machang depan CIMB okay” “Okaylah” aku terus ke kereta.

Tidak sampai setengah jam selepas itu sebuah meja makan di kedai kopi depan CIMB dipenuhi oleh sebuah nostalgia lagi. Mat Mamud, Wan Azle, Fauzi Mamud, Abdul Suhaimi, dan Roley mula meluahkan kerinduan dan cerita terpendam masing-masing.

Sama seperti siang tadi, aku melihat perubahan ketara di dalam diri kami, di dalam lawak jenaka dan kesedihan yang dikongsi terpahat sebuah kontrak sosial yang aku kira agak matang apabila Wan Azle mencelah, “kita ni dah 50 tahun dan lebih umur ni, kalau boleh kita buat sesuatu yang lebih serius, dah banyak kali kita jumpa tapi tak ada substance”.

Justeru itu, dengan pencapaian dan kebolehan masing-masing mungkin sebuah konsortium berbentuk sosial dan/atau business boleh dilaksanakan. Tidak lama kemudian kelihatan toke kedai nampak gelisah apa tidaknya kedai dah nak tutup tapi dia malu nak cakap. Kami sepakat bergerak kesebuah kedai lain di tepi lebuhraya, di kedai ini Zakaria (Pak Ya) pula muncul tambah satu korum lagi.

Sambil pekena teh halia dan sup puyuh, beberapa agenda disepakati. Pertama, sebuah laman web akan dibentuk untuk mengumpul maklumat Kamilian 70-75, minta support dari Ammran Yunus (Mre Merah).

Kedua, aku akan lead the team untuk bentuk sebuah kertas kerja penubuhan konsortium dan pelan latihan.

Ketiga, Pak Ya akan urus perjumpaan berikutnya di Machang dalam masa terdekat selepas semua maklumat dah dikumpul.

Keempat, ketetapan juga mengenai setiap orang perlu menghadiri latihan keusahawanan.

Kelima, anchor person yang dikenalpasti ialah seperti beberapa orang Dato dan seumpamanya seperti Azmi Kadir, Aziz Yusof , Hassan Mat, Shukri Salleh, Kolonel Hasanudin, Ahmad Zawawi dan Zukri Samat untuk menyertai konsortium.

Jam 1 pagi, sekali lagi kami terpaksa berpisah dengan memahat janji untuk jumpa lagi. Perpisahan kali ini memberikan impak tersendiri buatku di mana semua agenda yang dirangka akan dikongsi dengan rakan yang lain.

Esoknya, 28 Januari 2009 aku bergerak ke Kuala Terengganu untuk melaksanakan tugasan ku. Aku menghubungi beberapa orang penting seperti Mre Merah, Dato Azmi Kadir dan Dato Hassan Mat, Alhamdulillah feedback nampaknya menyakinkan ...!!
Tunggu episod seterusnya di keluaran akan datang...

Nukilan: Amran Awang, PhD, 12.30 pg 29 Januari 2009

Langkah bermula !

Blog ini diwujudkan pada hari Khamis, 29 Januari 2008, iaitu 38 tahun selepas kami menjejakkan kaki ke Sekolah Menengah Kamil.

Atas inisiatif rakan-rakan yang diketuai Amran Awang, kini bergelar Prof Madya Dr., maka saya diamanahkan membina laman blog ini.

Tindakan ini ialah antara langkah permulaan ke arah misi penting yang dirancang bersama.

Semoga berkat doa dan tindakan jitu bersama, usaha ini akan berjaya.