Saturday, August 8, 2009

Suatu Petang di Kelantan Delight












Pertemuan kali ini diadakan di Restoran Kelantan Delight di Sooka Central, bangunan sebelah stesen KL Sentral.

Turut berada di lokasi majlis ialah Tuan Juhaidi Yean, Pengarah Urusan restoran dan tidak ketinggalan Dato Aziz Yusof.

Sayangnya Prof Amran Awang da Dato Azmi tidak dapat hadir hari ini kerana 'terpanggil' dalam tergesa-gesa. Namun majlis tetap diteruskan.

Tetamu istimewa ialah Cikgu Zainal, bekas guru Geografi kami.

Minta maaflah kepada yang tidak dapat hadir kerana saya 'terpaksa' menampilkan beberapa gambar antara juadah yang dihidangkan pada pertemuan itu.

Terima kasih kepada semua yang sudi datang. Semoga bertemu lagi di lain perjumpaan!

Wednesday, July 15, 2009

Dua sahabat di utara




Saya berkesempatan menziarahi rumah Prof. Dr. Amran Awang di Arau, Perlis.

Saturday, May 16, 2009

Nostalgia enam sahabat



Gambar ini diambil semasa pihak sekolah menganjurkan lawatan sambil belajar ke Kuala Lumpur.

Siapa yang boleh namakan kesemua enam sahabat dalam gambar ini?

Tuesday, April 28, 2009

Pada suatu hari di Kuala Lumpur


Gambar ini diambil pada tahun 1973 atau 1974.

Ketika itu sekolah mengadakan lawatan ke Kuala Lumpur.

Kalau tidak silap ingatan saya, semasa di Kuala Lumpur kami menginap di Sekolah Aminuddin Baki, Kampung Pandan.
[Bukan di hotel, tetapi dalam bilik darjah sahaja daa...!!!]

Monday, April 27, 2009

Antara dua zaman, dua sahabat...

Begitu cepat masa berlalu.

Mari lihat perkembangan dua sahabat.

Ini dua orang sahabat semasa belajar di sekolah menengah dan gambar ini diambil sekitar tahun 1970'an semasa mereka tinggal di asrama sebuah sekolah menengah di Pasir Puteh, Kelantan. Pada masa itu gambar hitam putih sudah dianggap bagus!




......... JENG JENG JENG,...!



...... JENG JENG JENG JENG...!


......


....

...

..

.


Sekarang lihat gambar dua sahabat yang sama yang diambil pada tahun 2009, iaitu selepas lebih 35 tahun berlalu. Gambar diambil di sebuah restoran di Kuala Lumpur ketika mereka bertemu semula.



Bandingkan perbezaan dua zaman...!

Sunday, April 26, 2009

Nostalgia lima orang sahabat

Mari kita lihat pula gambar lima orang sahabat.

Gambar ini diambil antara tahun 1971-1974.

Untuk pengetahuan para pengunjung semua, blog 'Ambo Kamilian' akan berusaha untuk mengumpulkan kelima-lima orang sahabat ini. Setelah kelima-lima mereka berkumpul dan duduk dalam posisi yang serupa, gambar akan diambil dan dimasukkan dalam blog ini.

Semoga berjaya.

Nostalgia kelas '2S-A' atau 3S-A' ? (Cuba teka..)

Saturday, April 11, 2009

Pertemuan di De Palma 11 April 2009



Alhamdulillah, syukur kerana suatu pertemuan mengeratkan silatur-rahim antara bekas pelajar Sekolah Menengah Kamil 1970-75, telah berjaya diadakan di Hotel De Palma Ampang pada hari Sabtu, 11 April 2009.

Pertemuan yang bermula mulai pukul 10.00 pagi sehingga 3.00 petang itu telah berjaya mengeratkan hubungan di kalangan mereka yang hadir.

Setelah sebegitu lama berpisah dan terpisah, ada yang sejak tahun 1973 lagi, apabila kami mengikut halatuju pendidikan dan kerjaya masing-masing, maka di hari yang bersejarah dan berbahagia ini, kami bertemu dengan penuh kenangan nostalgia suka dan duka, pahit dan manis.

Kita akan cuba mendapatkan gambar-gambar yang diambil oleh rakan-rakan yang membawa kamera serta telefon bimbit yang dilengkapi kamera yang tinggi resolusi kuasa megapixel, dan akan dipaparkan di blog ini dalam masa yang terdekat.

Sempena pertemuan itu kita juga telah dapat memilih AJK Penaja konsortium yang akan ditubuhkan untuk kepentingan bersama.

Senarai rakan-rakan yang hadir adalah seperti berikut:

1) Prof Amran Awang
2) Ammran Yunus
3) Amran Haron
4) Zakaria Omar
5) Wan Mohamad Azlan Hj Ahmad
6) Wan Mazlan Wan Hasbullah
7) Dato Mohamad Azmi Abd Kadir
8) M Azmi Hj Mokhtar
9) Mohamad Mahamod
10) Noorizan Yusoff
11) Che IbrahimDeraman
12) Juahir Hj Mohamad
13) Jamaliah Mustafa
14) Che Hasnah Che Kar

Semoga dalam pertemuan akan datang lebih ramai lagi yang dapat hadir, demi merancang kepentingan bersama.

Sunday, March 15, 2009

Pertemuan di Niko 15 Mac 2009

Pertemuan hari ini besar ertinya buat saya kerana pada pertemuan di Machang tempuh hari saya tidak dapat bersama.

Kehadiran adalah seperti berikut:
- Dato Azmi Kadir
- Prof Khairuddin (maaf jika salah ejaan)
- 3 Mran (Amran Awang, Amran Harun dan Ammran Yunus)

Perkara yang dibincangkan:

- Banyak:Ino-fund, Infant-fund, EDP, bisnes kulat dan lain-lain bisnes;
- Kisah silam yang membuat kami ketawa: Treasure Hunt di asrama, makan kerak nasi di dapur asrama, Kedai Kee Boh, Kena punishment oleh Mr Muthu, Bukit Gedombak, dan macam-macam lagi;
- Perkembangan semasa masing-masing dan rakan-rakan lain

Pertemuan ditamatkan lebih kurang pukul 6.30 petang - itu pun kerana Amran Awang dan Prof Khairuddin perlu memandu balik ke Perlis dan Amran Harun hendak hadir ke majlis kenduri di Bangunan Tabung Haji.

Terima kasih Dato Azmi kerana sudi belanja makan. Terima kasih daun keladi...

Nota: Amran Harun ada ambil gambar guna handphone dia yang canggih, tak tanya dia pula berapa megapixel picture definition, emm. Kamera saya tidak dapat digunakan hari ini kerana anak saya sudah bawa ke kolej.

Wednesday, January 28, 2009

Pertemuan 27 Januari 2009

Tanggal 27 Januari 2009 (Tahun Baru Cina hari kedua) satu detik yang memahat memori persekolahan kami di awal 70an kembali menerangi kenangan indah bersama yang semakin kabur. Jam 10 pagi tiba-tiba Jali muncul di kedai kopi berhampiran rumahku, setelah menghampiri beliau yang agak terkejut, lantas sapaan selamba kulontarkan, “Li! Assalamualaikum. Apa khabar?”

“Baik, demo ko?” sambut Zali selamba. Sambil mengambil tempat duduk sementara Razali Hamzah (gelaran jali Kim Tuck) mengambil sarapannya ku perhatikan seraut wajah yang sudah lebih 30 tahun ku kenali, terasa betapa singkatnya waktu yang diberikan Allah untuk kita belajar, berkawan, berbakti, dan berjuang di mayapada ini.

Di antara perbualan yang berlaku di pagi itu termasuklah mengenang kembali kisah bersama rakan-rakan seperjuangan yang masih diingati seperti Nordin Yahya (gelaran Sidik), spontan aku teringat nombor telefon yang telah diberikan oleh Rashid Keebo beberapa bulan yang lepas, selepas nombor didail Nordin terus menjawab dan perbualan berlaku melalui telefonku.

Satu janji termeterai untuk bertemu di kepala gertak Pasir Mas Salor jam 1.00 tengah hari di kedai makan di situ. Jali agak keberatan untuk bersamaku ke Pasir Mas dengan memberikan alasan bahawa kehidupan orang di kampung nampaknya lebih “hectic” berbanding orang yang hidup di bandar, i.e. sibuklah tu.... Seketika itu isteriku tiba dan aku terpaksa meninggalkan Jali dan kami sekeluarga bergegas ke Pasir Mas.

i kepala gertak Pasir Mas Salor kelihatan kereta bersusun-susun disebelah kanan jalan, agak rimas juga untuk menyeberangi ke kanan jalan dengan deretan kereta yang rapat-rapat itu, ku gagahi menyusuri dengan keretaku menentang arus trafik yang tiada henti hingga kehujung jalan hanya beberapa meter dari gertak untuk parkir keretaku.

Usia dan waktu memang memberi kesan yang signifikan, walaupun seolah-olah terasa baru beberapa hari sahaja kita bersama di asrama tetapi aku sudah tidak dapat mengenali nordin yang sedang menunggu di situ. Mata melingas mencari tetapi, “Mana dia?”

Selepas mendail nombor beliau baru disedari orang yang berada di meja yang telah aku lewati menjawab panggilanku, “hei din” kami bersalaman. Sekali lagi masa pertemuan terasa amat singkat, perbualan berkisar pada kisah di asrama dan perjuangan selepas belajar.

“Aku terpaksa menoreh selepas habis tingkatan 5, belajar semula di IKM sambil menumpang di rumah Fauzi Mahmud (Aye Tua), masa dia orang nak kutip yuran pandai-pandailah aku mengelak” cerita Nordin. Nordin yang sama melidi macam aku dulu kini nampak agak berisi dengan kumis yang sudah mula berubah warna tetapi dirias rapi.

Nostalgia Nordin juga ada berkaitan dengan bagaimana dia telah diusik oleh sekumpulan budak Kamil asrama perempuan di stesyen bas. Ketua Balai Bomba Pasir Mas ini memang agak rapat dengan aku dulu, justeru perbualan sambil makan tengah hari di kedai itu amat singkat. Kami terpaksa berpisah dengan kata janji akan bertemu lagi, insyaAllah. Walau apa pun nasi di kedai tu sedap dan murah.

Pada waktu malam hari itu nampaknya masih panjang lagi apabila selepas Maghrib, Mat Mamud (Mat Dagu) telefon, “Dah keluar ke?”, “Dak lagi” aku jawab, “Kita jumpa kat Machang depan CIMB okay” “Okaylah” aku terus ke kereta.

Tidak sampai setengah jam selepas itu sebuah meja makan di kedai kopi depan CIMB dipenuhi oleh sebuah nostalgia lagi. Mat Mamud, Wan Azle, Fauzi Mamud, Abdul Suhaimi, dan Roley mula meluahkan kerinduan dan cerita terpendam masing-masing.

Sama seperti siang tadi, aku melihat perubahan ketara di dalam diri kami, di dalam lawak jenaka dan kesedihan yang dikongsi terpahat sebuah kontrak sosial yang aku kira agak matang apabila Wan Azle mencelah, “kita ni dah 50 tahun dan lebih umur ni, kalau boleh kita buat sesuatu yang lebih serius, dah banyak kali kita jumpa tapi tak ada substance”.

Justeru itu, dengan pencapaian dan kebolehan masing-masing mungkin sebuah konsortium berbentuk sosial dan/atau business boleh dilaksanakan. Tidak lama kemudian kelihatan toke kedai nampak gelisah apa tidaknya kedai dah nak tutup tapi dia malu nak cakap. Kami sepakat bergerak kesebuah kedai lain di tepi lebuhraya, di kedai ini Zakaria (Pak Ya) pula muncul tambah satu korum lagi.

Sambil pekena teh halia dan sup puyuh, beberapa agenda disepakati. Pertama, sebuah laman web akan dibentuk untuk mengumpul maklumat Kamilian 70-75, minta support dari Ammran Yunus (Mre Merah).

Kedua, aku akan lead the team untuk bentuk sebuah kertas kerja penubuhan konsortium dan pelan latihan.

Ketiga, Pak Ya akan urus perjumpaan berikutnya di Machang dalam masa terdekat selepas semua maklumat dah dikumpul.

Keempat, ketetapan juga mengenai setiap orang perlu menghadiri latihan keusahawanan.

Kelima, anchor person yang dikenalpasti ialah seperti beberapa orang Dato dan seumpamanya seperti Azmi Kadir, Aziz Yusof , Hassan Mat, Shukri Salleh, Kolonel Hasanudin, Ahmad Zawawi dan Zukri Samat untuk menyertai konsortium.

Jam 1 pagi, sekali lagi kami terpaksa berpisah dengan memahat janji untuk jumpa lagi. Perpisahan kali ini memberikan impak tersendiri buatku di mana semua agenda yang dirangka akan dikongsi dengan rakan yang lain.

Esoknya, 28 Januari 2009 aku bergerak ke Kuala Terengganu untuk melaksanakan tugasan ku. Aku menghubungi beberapa orang penting seperti Mre Merah, Dato Azmi Kadir dan Dato Hassan Mat, Alhamdulillah feedback nampaknya menyakinkan ...!!
Tunggu episod seterusnya di keluaran akan datang...

Nukilan: Amran Awang, PhD, 12.30 pg 29 Januari 2009

Langkah bermula !

Blog ini diwujudkan pada hari Khamis, 29 Januari 2008, iaitu 38 tahun selepas kami menjejakkan kaki ke Sekolah Menengah Kamil.

Atas inisiatif rakan-rakan yang diketuai Amran Awang, kini bergelar Prof Madya Dr., maka saya diamanahkan membina laman blog ini.

Tindakan ini ialah antara langkah permulaan ke arah misi penting yang dirancang bersama.

Semoga berkat doa dan tindakan jitu bersama, usaha ini akan berjaya.